Mohd Daud Hamdan

MAKKAH – Setiap kali melangkah menuju ke Masjidil Haram, Mohd Daud Hamdan, 72, tidak pernah lupa pada insan yang suatu ketika dahulu menyimpan impian untuk menjadi tetamu Allah bersamanya.

Warga emas dari Kampung Rim, Jasin, Melaka itu berkata, meskipun dia reda dengan ketentuan Allah namun jauh sudut hatinya, dia cukup sedih kerana impiannya untuk bersama isterinya  melaksanakan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian.

Tanpa ditanya, sosok lelaki yang kelihatan tenang ini mengakui hatinya begitu sarat merindui isterinya, Allahyarham Maimun Mohamad yang meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi dan lelah.

“Dulu memang saya dan isteri simpan duit di Tabung Haji sama-sama. Kami nak datang berdua… tapi dia ‘pergi’ dulu,” katanya perlahan sambil menahan sebak.

Mohd Daud mula membuka akaun Tabung Haji sejak tahun 1972 ketika bekerja di kilang sebelum diberhentikan pada tahun 1978 kerana kemelesetan ekonomi.

Katanya, ketika itu dia menyimpan RM33 sebulan.

Dia kemudian sambung menabung selepas menyertai Polis Diraja Malaysia.

Mohd Daud berkata, walaupun sudah lama menabung, dia hanya mengetahui tentang keperluan mendaftar haji pada tahun 2004 selepas terdengar khutbah Jumaat.

“Pak cik pergi solat Jumaat, dalam khutbah itu kata kalau nak pergi haji kena daftar dulu. Kelam-kabut pakcik pergi daftar masa tu.

“Dari tahun 2004 pak cik tunggu sampai 2026 baru dapat panggilan. Alhamdulillah, Allah jemput juga walaupun umur dah 72 tahun.

“Bila duduk seorang di sini macam ni, mesti teringat dia. Rindu bebelannya. Ya lah, lebih 30 tahun bersama. Dulu semua buat bersama… makan bersama, jalan bersama.

“Bila pasangan dah tiada, kekosongan tu lain. Kasih sayangnya susah diganti,” katanya dengan mata mula berkaca.

Walaupun usia semakin lanjut dan kudrat tidak lagi sekuat dahulu, Mohd Daud tetap menggagahkan diri berjalan kaki ke Masjidil Haram hampir setiap hari.

“Nak kata kuat, tak juga. Jalan perlahan-lahan macam buat riadah,” katanya sambil tersenyum kecil.

Abd. Aziz Yaakub (kiri) dan Kamaruddin Wok (kanan).

Rakannya, Kamaruddin Wok, 71, juga berkata, perasaan yang ditanggungnya juga tidak jauh berbeza.

Pesara kerajaan itu berkata, dia dan arwah isterinya pernah merancang untuk mengerjakan haji bersama selepas sekian lama menabung sedikit demi sedikit.

“Saya penjawat awam, faham-fahamlah gaji tak banyak. Dahlah tak banyak, duit yang ada dalam akaun keluar, masuk.

“Sekarang bila ada rezeki, isteri pula tiada… begitulah. Tapi saya bersyukur kerana dengan izin-Nya saya di sini hari ini,” tambah bapa kepada tiga orang anak dan lapan cucu ini.

Menurut Kamaruddin, isterinya meninggal dunia akibat kanser limfoma pada tahun 2016.

Katanya, walaupun pernah datang mengerjakan umrah tetapi suasana haji memberi emosi yang jauh lebih mendalam.

“Rasa tu tak sama, sebab haji ini mengajar kita erti kesabaran, hidup perlu bertenang apatah lagi bila datang seorang,” katanya sambil berharap anak-anaknya tidak risau keadaan dia di sini.

“Jangan risau, ayah baik-baik sahaja,” tambah beliau.

Bagi Abd. Aziz Yaakub pula, kehilangan pasangan tidak pernah memadamkan semangatnya untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Bekas kakitangan mahkamah itu berkata, dia mula menabung  sejak 1980 sebelum mendaftar haji bersama isterinya pada 2009.

“Saya reda kena datang bersendirian. Walaupun datang seorang, saya tetap bersyukur Allah jemput saya,” katanya.

Katanya, dia masih bertuah kerana anak tunggalnya, Nurfatihah sentiasa menghubunginya untuk bertanya khabar dari jauh.

“Dia selalu tanya saya okay ke, dah makan ke, sihat tak. Alhamdulillah dia anak yang baik,” ujarnya.

Kebetulan, ketiga-tiga warga emas ini merupakan rakan sebilik di Makkah ini dan saling menemani antara satu sama lain.

Mereka makan, lepak, berbual dan berjalan ke masjid bersama-sama.

“Kami harap persahabatan yang terjalin ini berterusan apabila balik ke tanah air nanti,” kata Abd. Aziz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast