Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 SEPTEMBER 2022. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkkan Khamis ini bagi memutuskan permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan permohonan Timbalan Perdana Menteri akan disampaikan oleh Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.

Pada 24 April lalu, mahkamah yang sepatutnya menyampaikan keputusan, menangguhkannya sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan Badan Peguam yang dijadualkan pada 7 Mei lalu.

Khamis lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Faizah Jamaludin membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dalam kes berkenaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin mengembalikan prosiding itu ke Mahkamah Tinggi berlainan bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.

Pada prosiding 24 Februari lalu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut, namun Hakim Nurulhuda memaklumkan mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan itu sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam, ditentukan.

Badan Peguam sebagai sahabat mahkamah `amicus curiae’ telah menyerahkan surat bantahan terhadap permohonan Ahmad Zahid itu pada tarikh sama (24 Februari), namun dibantah peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan pembebasan penuh itu atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan media memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kesemua 47 pertuduhan berkenaan.

AGC dalam kenyataan media pada 8 Januari lalu memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan tersebut selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.

Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ (NFA) tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast