Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi peruntukan tambahan RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sekali gus menjadikan keseluruhannya RM150 juta bagi  agensi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu susulan prestasi semakin baik Mitra khasnya dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat India miskin dan masih terpinggir.

“Kalau tanya saya apakah (peruntukan) RM100 juta cukup, tidak.

“Oleh kerana suku akhir ini prestasi Mitra baik, saya setuju mulai tahun ini kita tambah jadi RM150 juta,” katanya ketika berucap pada  Program Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berucap pada Program Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman itu dan berterima kasih kepada Perdana Menteri terhadap keprihatinan masyarakat India di negara ini.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih atas keprihatinan beliau terhadap komuniti dan masyarakata India dengan tambahan RM50 juta ini.

“Ini adalah kali pertama kita terima penambahan sejak Mitra ditubuhkan lebih 20 tahun yang sebelum ini kekal hanya RM100 juta,” katanya,

Sejak 2023 sehingga 2025 katanya, Mitra telah menggunakan sepenuhnya peruntukkan RM100 juta yang diberikan sebelum ini bagi melaksanakan program di bawah agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast