KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan ditahan selepas terlibat mencuri buah kelapa sawit di kawasan Banting, Selangor pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.30 petang.
Katanya, pengadu memaklumkan terdapat dua kenderaan mencurigakan di kawasan kebun sawit miliknya.
“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek sedang mencuri buah kelapa sawit dan memasukkan ke dalam kenderaan tersebut.
“Bertindak atas maklumat pihaknya telah menahan kesemua suspek dan merampas barangan kes yang telah dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 222 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















