Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki pada program podcast bertajuk 'Kolar Hitam, Bukan Sekadar Operasi' di Putrajaya. Foto MALAYSIAGAZETTE, 11 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki memberi bayangan akan terus menyumbang kepada rakyat dan negara selepas menamatkan perkhidmatan rasminya bermula esok.

Namun beliau menegaskan beliau tidak akan menyertai politik mahupun menceburi bidang perniagaan.

Azam berkata, beliau tetap mahu terus bekerja dan menyumbang tenaga selagi termampu kerana menganggap khidmat kepada negara sebagai satu kepuasan diri.

“Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari  dikerandakan dalam masjid. Ya, faham-fahamlah maksud itu.

“Saya akan bekerja menyumbang apa yang saya boleh kepada negara, kepada rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya menerusi Podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang disiarkan di YouTube hari ini.

Menurut Azam, walaupun tidak lagi bersama SPRM secara rasmi, beliau akan terus mengikuti perkembangan agensi itu dan bersedia memberikan pandangan membina sekiranya diperlukan.

“Saya tidak akan marah pun jika ada tindakan SPRM yang saya tidak setuju tetapi jika sudah sampai masa mungkin saya nak bersuara, saya juga akan bersuara dengan memberi pandangan yang baik serta membina,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membantu warga SPRM terutama dalam berkongsi pengalaman serta memberi nasihat kepada pegawai muda agensi berkenaan.

“Jika perlukan perkongsian pengalaman terutama rakan saya daripada SPRM ini, anak buah saya yang perlukan nasihat, saya sentiasa sedia menyumbang,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan terlibat dalam politik atau perniagaan selepas bersara, Azam menolak perkara itu kerana menyifatkan kedua-dua bidang tersebut bukan minat dan kepakarannya.

“Politik itu jauh sekali sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga,” katanya sambil menegaskan seseorang perlu terus menjadi insan berguna kepada masyarakat, keluarga dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast