Bekas pembantu Ahli Parlimen Seputeh hadir pendakwaan kes berkaitan perolehan papan pintar di mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Seputeh hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini seawal 7.30 pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan dipercayai berkaitan kes rasuah membabitkan perolehan papan pintar untuk beberapa sekolah di ibu negara.

Tertuduh yang memakai kemeja putih dan seluar hitam dilihat memasuki perkarangan mahkamah dalam keadaan tenang namun dipercayai cuba mengelak daripada didekati pengamal media yang berkumpul sejak awal pagi.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap lelaki terbabit dijadual dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pukul 9 pagi.

Kes tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah bagi membantu meluluskan dana projek pembekalan papan pintar di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).

Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk pembantu kepada Ahli Parlimen Seputeh itu ditahan SPRM selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Sumber berkata, wang tersebut dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan permohonan projek bernilai kira-kira RM1.5 juta yang melibatkan pembekalan papan pintar interaktif kepada beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Pada Mac tahun lalu, SPRM turut menahan reman kedua-dua suspek selepas mereka hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu.

Difahamkan, siasatan bukan sahaja tertumpu kepada proses kelulusan projek malah turut melibatkan aspek pembekalan termasuk sama ada sekolah menerima peralatan mengikut spesifikasi dan kuantiti yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam isu berkenaan dan menegaskan beliau sendiri telah membangkitkan isu ketidakselarasan harga pembelian papan pintar tersebut.

Menurut Teresa, beliau dimaklumkan terdapat perbezaan ketara harga pembelian papan pintar dan televisyen pintar yang dibekalkan kepada 16 sekolah apabila invois menunjukkan setiap sekolah menerima peruntukan RM99,000 sedangkan harga sebenar peralatan terbabit jauh lebih rendah.

Beliau juga mendakwa syarikat yang mengeluarkan invois berkenaan dipercayai tidak wujud selain menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast