KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin mengkritik tindak tanduk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang disifatkan lebih banyak mengeluarkan kenyataan media berbanding membawa penyelesaian konkrit terhadap isu rakyat di kawasan itu.
Bryan yang juga Naib Ketua Cabang PKR Petaling Jaya berkata, dakwaan dibuat Chean Chung kononnya kerusi Parlimen Petaling Jaya kini tidak lagi selamat sepatutnya menjadi cerminan terhadap prestasi beliau sendiri sebagai wakil rakyat kerajaan.
Menurutnya, Petaling Jaya merupakan kerusi kuat PKR selama dan sekiranya parti gagal mempertahankannya pada pilihan raya akan datang, Chean Chung sahaja yang perlu bertanggungjawab terhadap keadaan itu.
“Selepas hampir tiga tahun menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya, rakyat hanya melihat kenyataan media demi kenyataan media tanpa tindakan susulan yang benar-benar berkesan,” katanya.

Bryan turut membangkitkan isu banjir di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya termasuk Taman Sri Manja, Taman Dato Harun dan Jalan 223 yang menurutnya masih berulang setiap tahun.
Katanya, walaupun mempunyai akses terus kepada kementerian dan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Chean Chung didakwa gagal membawa pelan penyelesaian yang lebih agresif.
“Rakyat mahu lihat wakil rakyat turun padang dan menggunakan pengaruh yang ada untuk mencari solusi, bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan media dan lakukan kritikan tuding jari sepanjang waktu. Rakyat sudah bosan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Bryan turut mendakwa wakil rakyat itu jarang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR walaupun platform itu menjadi ruang rasmi untuk membangkitkan isu rakyat kepada kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah dakwanya, Chean Chung tidak pernah membawa isu rakyat secara konstruktif dalam mesyuarat berkenaan, namun bersikap lantang di luar parti sehingga memberi persepsi negatif terhadap kepimpinan PKR.
Bryan turut mendakwa terdapat usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Petaling Jaya yang meminta Chean Chung tidak dicalonkan semula sebagai wakil rakyat susulan rasa tidak puas hati akar umbi terhadap kepimpinannya.
Katanya, kekalahan Chean Chung dalam pemilihan cabang sebelum ini juga menunjukkan anggota parti semakin hilang keyakinan terhadap beliau.
Selain itu, Bryan berkata, kehadiran Lee dalam program komuniti terutama sepanjang Ramadan lalu didakwa semakin berkurangan sehingga menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penduduk setempat.
Beliau turut menyentuh isu Tasik Taman Jaya dengan mendakwa Chean Chung sekadar mencadangkan kerjasama dengan pihak universiti menerusi media sosial tanpa membawa penyelesaian lebih konkrit sebagai Ahli Parlimen kerajaan.
“Petaling Jaya perlukan wakil rakyat yang mengikhtiarkan solusi, bukan sekadar jaguh kenyataan media,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette
















