Ngwe Hee Sem

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) memantau rapat perkembangan wabak hantavirus yang dilaporkan melibatkan kapal persiaran MV Hondius di Sepanyol.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ia penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kesihatan awam Melaka sebagai negeri pelancongan sentiasa dalam keadaan terkawal.

“Buat masa ini pemeriksaan rutin dijalankan melalui sistem Malaysian Maritime Single Window dan pihak cruise perlu membuat deklarasi perjalanan menerusi sistem berkenaan.

“Sekiranya terdapat penumpang yang ingin turun dari kapal, pihak imigresen dan kesihatan akan menjalankan saringan terlebih dahulu sebelum dibenarkan turun,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata, prosedur itu merupakan pemerkasaan terhadap pemeriksaan rutin sedia ada dan tiada langkah tambahan dilaksanakan ketika ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan lapan individu dijangkiti dalam wabak hantavirus dikaitkan dengan sebuah kapal persiaran termasuk tiga yang meninggal dunia.

WHO berkata daripada jumlah itu, enam kes telah disahkan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai kes berpotensi. Agensi itu berkata enam kes disahkan sebagai virus Andes, sejenis hantavirus, menerusi ujian PCR.

Kapal persiaran itu membawa 147 penumpang dan kru ketika wabak berkenaan pertama kali dilaporkan pada 2 Mei lalu, manakala 34 individu lain sudah meninggalkan kapal berkenaan lebih awal. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast