KUALA LUMPUR – Tempoh reman seorang lelaki disyaki memandu secara mabuk hingga merempuh pasangan suami isteri yang menaiki motosikal di Jalan Ampang, 2 Mei lalu disambung lima hari lagi bermula hari ini.
Ketua Jabatan Siastaan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun disambung sehingga 15 Mei ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar 11 pagi tadi untuk permohonan sambung reman.
“Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Munirah Wan Mustafa membenarkan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan.
“Kertas siasatan juga dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur jam 3 petang ini bagi arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu dalam keadaan mabuk di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern.
Dalam kejadian pukul 5.34 pagi itu, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isteri berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan dua penumpang lelaki berusia 23 dan 24 tahun cedera. – MalaysiaGazette
















