Suspek kru warga China ditahan tikam rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah kapal MV Lucky Camelia di perairan Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang kru kapal warga China cedera selepas ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah kapal MV Lucky Camelia di perairan Selangor semalam.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Selangor menerima permohonan bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) bagi memindahkan mangsa merupakan lelaki berusia 47 tahun itu untuk mendapatkan rawatan pukul 8.52 malam.

Pengarahnya, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Aset Penggalang 41 tiba di lokasi kira-kira empat batu nautika dari pantai Tanjung Rhu pada pukul 11.51 malam.

“Kita telah dimaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua kru kapal terbabit dan kejadian itu menyebabkan seorang kru mengalami kecederaan akibat ditikam di bahagian perut.

“Susulan kejadian itu, seorang kru warga China berusia 36 tahun ditahan disyaki terlibat cubaan membunuh dan mereka kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan tiba kira-kira jam 1.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Muhaimin berkata, mangsa diserahkan kepada ambulans sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

“Suspek pula diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast