Banjir kilat itu turut menyebabkan air masuk sehingga ke dalam bilik darjah.

BUKIT MERTAJAM – Limpahan air sungai berhampiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjung di Simpang Ampat di sini, akibat hujan lebat dipercayai punca banjir kilat di sekolah itu malam tadi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, ketika ini keadaan terkawal selepas pelajar di asrama sekolah itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing atas faktor keselamatan.

“Ketika kejadian, pihak sekolah turut menghubungi bomba untuk tindakan lanjut dan pelajar tidak dibenarkan meredah air banjir kerana dikhuatiri terdapat haiwan berbisa seperti lipan.

“Bomba yang hadir di lokasi melakukan pemantauan selain selesai memindahkan pelajar pada jam 9.45 malam.

Mohamad Dziauddin.

“Selain itu, pegawai hal ehwal murid JPN negeri serta ketua pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah turut hadir memantau keadaan di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamad Dziauddin, pihaknya bercadang melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan banjir kilat tersebut.

“Kebenaran bagi pelaksanaan PdPR diperlukan bagi membolehkan kerja pembersihan serta tinjauan keselamatan dilakukan di kawasan sekolah.

“Ketika ini sebahagian besar kawasan sekolah berlumpur dan perlu dibersihkan.

“Berdasarkan situasi sebelum ini, banjir kilat berkenaan dijangka surut bergantung kepada keadaan hujan lebat di kawasan hulu sungai,” katanya.

Media malam tadi melaporkan seramai 73 pelajar SMA Al-Maahadul Islami Tasek Junjung Simpang Ampat di sini, dipindahkan dengan selamat selepas kawasan sekolah berkenaan dilanda banjir kilat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Banjir kilat: 73 pelajar SMA Al-Maahadul Islami Tasek Junjung dipindahkan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.19 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam bergegas ke lokasi dan mendapati beberapa kawasan di dalam kawasan sekolah dinaiki air setinggi kira-kira 0.3 meter susulan hujan lebat serta peningkatan paras air sungai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast