Ilayaraj didakwa atas pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa lesen minggu lalu.

S. Ilayaraj, 28, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,455 liter minyak diesel yang disimpan dalam enam tangki tambahan sebuah lori dengan nombor pendaftaran PGN 3771 dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Penyimpanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 11 malam pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Preeya Darrsini dan Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah.

Ketika prosiding Preeya Darrsini menawarkan wang jaminan RM20,000 terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan berulang.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan mohon jaminan minima atas alasan menganggung kedua-dua ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki tersebut.

Kes ditetapkan pada 10 Jun depan untuk sebutan fakta hukum dan laporan kimia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast