Tangkapan dibuat menerusi 38 serbuan di kawasan perairan Selangor hingga Johor

KUALA LUMPUR – Seramai 335 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi 38 serbuan di kawasan perairan Selangor hingga Johor sepanjang tempoh 1 Januari hingga 11 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 237 adalah lelaki dewasa warga asing, 96 wanita dewasa warga asing dan dua kanak-kanak lelaki.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya turut menahan 37 individu dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan tekong laut dalam operasi berkenaan.

Mereka terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar.

“Keseluruhan tangkapan dibuat hasil koordinasi elemen infantri di Pos Op Taring Nyah 1 Selangor dan Johor bersama Task Force Delta Briged Tengah PGA.

“Operasi yang dilaksanakan memfokuskan kawasan perairan Selangor hingga Johor bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan dan mengekang kemasukan PATI secara lebih efektif serta bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Dalam operasi sama, pihaknya turut merampas 20 kenderaan, tiga bot dan 57 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.6 juta.

Hakemal berkata, secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Mei 2026, Briged Tengah PGA melaksanakan 159 serbuan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hasil operasi itu, seramai 551 individu berjaya ditahan dengan pelbagai jenis rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM242 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast