KUALA LUMPUR – Enam lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan tiga warga asing direman tiga hari hingga hari ini selepas terlibat dalam aktiviti perjudian daun terup dan sabung ayam di Jalan Kunci Air, Kampung Delek Kiri, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu dibuat selepas serbuan dilakukan di sebuah pondok kayu pada pukul 1 pagi, 9 Mei lalu.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui satu gelanggang kecil sabung ayam beserta empat ekor ayam yang dipercayai digunakan bagi tujuan pertaruhan dan aktiviti perjudian.
Semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1) dan Seksyen 32(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis memandang serius aktiviti perjudian haram dan penganiayaan terhadap haiwan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menyalahi undang-undang negara. – MalaysiaGazette















