KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat termasuk tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan.
Mohd. Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan kongsinya, Datuk Norliza Tajudin, 54, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan perbuatan tersebut atas kapasiti selaku pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn. Bhd.
Tuduhan pertama hingga ketujuh, mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah wang RM400,000, RM500,000, RM900,000, RM2 juta, RM550,000, RM6 juta dan RM200,000 milik individu dan syarikat berlainan.
Wang tersebut milik bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (RM2 juta), Moideen Kunjayu (RM600,000), Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (RM1.95 juta) dan Myad Kapital Sdn. Bhd. (RM6 juta).
Kedua-dua tertuduh didakwa menggunakan harta tersebut secara melanggar kontrak nyata yang telah dibuat di antara Energy Eco dengan individu dan syarikat berkenaan.
Kontrak itu berkaitan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.
Menurut pertuduhan, kontrak itu melibatkan `Shareholder’s Advance Agreement’ bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari 2022, 1 April 2022, 27 April 2022, 6 Disember 2022, 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.
Kejadian didakwa berlaku di antara 22 Jun 2021 dan 12 Mei 2024 di di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad, Cawangan Bangsar Shopping Centre, Jalan Maarof, Bangsar di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Suzana membenarkan Mohd. Daud dan Norliza diikat jamin RM100,000 masing-masing dan menetapkan 19 Jun untuk sebutan serahan dokumen.
Mahkamah membenarkan permohonan peguam Zahida Md. Zaman agar Norliza dibenarkan membayar jaminan RM50,000 hari ini manakala bakinya dijelaskan pada Isnin depan (18 Mei).
Tertuduh turut diperintah melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.
Hakim berkenaan turut memerintahkan pasport Norliza diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan manakala dokumen milik Mohd. Daud sudah ditahan di mahkamah berkaitan satu kes berlainan pada Februari lalu.
“Tertuduh-tertuduh dilarang berkomunikasi dengan saksi pendakwaan secara sendiri atau melalui pihak ketiga,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan, pihak-pihak bersetuju agar jaminan RM100,000 dikenakan kepada setiap tertuduh. Mohd. Daud diwakili pasukan peguam diwakili Datuk Hamidi Mohd. Noh.
Menurut beliau, Mohd. Daud telah didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan pada 23 Februari lalu dan dikenakan jaminan RM50,000 dan syarat jaminan pasport diserahkan dan melapor diri ke Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebulan sekali. – MalaysiaGazette
















