PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki mengakui beliau belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak selepas perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berakhir, hari ini.
Beliau juga mengulangi pendirian untuk tidak terlibat dengan aktiviti politik kepartian mahupun terlibat dalam aktiviti perniagaan selepas persaraannya.
“Saya tak ada terima apa-apa tawaran daripada mana-mana dari pihak luar.
“Malah jauh sekali nak jadi ahli politik atau pun jadi ahli perniagaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Clock-Out di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu Azam melakukan gimik “Clock-Out” sebagai simbolik kepada tamatnya perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hampir tujuh tahun sejak 2020.
Pada 24 April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.
Azam, 63, bagaimanapun berkata, beliau akan terus bekerja dan memberi sumbangan kepada negara dan rakyat serta memastikan tadbir urus yang berintegriti ditegakkan.
“Lelaki ini tetap akan bekerja sehingga masjid panggil untuk dikerandakan. Saya tetap akan bekerja dan berkhidmat kepada rakyat selagi mana tenaga saya diperlukan.
“Saya juga akan cuba membantu apa yang boleh berdasarkan pengalaman saya dalam menegakkan tadbir urus berintegriti pada mana-mana tempat sekiranya diperlukan.
“Kalau tidak pun, saya akan membuat suatu perkara yang memberi manfaat kepada keluarga saya, diri saya dan juga kepada masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















