KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mendakwa akan mendedahkan nama pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menghalang, mengugut serta menganiayainya supaya tidak membongkar skandal rasuah di Sabah membabitkan 15 ahli politik berprofil tinggi.
Albert Tei Jiann Cheing berkata, beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Rabu, pukul 10 pagi.
Menurutnya, laporan tersebut dibuat susulan dakwaan campur tangan serta tekanan yang diterimanya berkaitan pendedahan skandal rasuah berkenaan sejak November 2024.
Pada masa sama, beliau memaklumkan akan mengemukakan aduan rasmi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang dijadual memulakan tugas pada hari sama.
Katanya, aduan tersebut akan disertakan dengan senarai saksi, pelbagai bukti serta salinan laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Saya menaruh kepercayaan dan harapan tinggi terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu untuk menyiasat perkara ini secara telus dan adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette
















