Datuk Seri Fadlun Mak Ujud bersama Hannah Yeoh. - Foto: FB Jabatan Penguatkuasaan DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuh usaha mitigasi banjir di ibu negara selepas kejadian hujan ekstrem berintensiti 96.5 milimeter sejam yang direkodkan pada 6 Mei lalu menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, bacaan itu melebihi paras hujan amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu 60 milimeter dalam tempoh dua hingga empat jam.

Menurut beliau, keadaan hujan luar biasa itu menyebabkan paras sungai meningkat mendadak sehingga mengakibatkan sistem perparitan dan longkang tidak mampu menampung aliran air secara optimum.

“Di Segambut Dalam, paras Sungai Toba merekodkan bacaan 43.14 meter melebihi paras bahaya 42.8 meter.

“Manakala di Kuchai Lama dan kawasan LRT Bukit Jalil, tadahan Sungai Kerayong mencatat bacaan 32.88 meter melebihi paras bahaya 32.66 meter sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata, DBKL kini memberi perhatian khusus kepada 14 hotspot banjir di sekitar Kuala Lumpur menerusi tindakan segera dan perancangan jangka panjang.

Menurutnya, antara lokasi terlibat ialah Jalan Rahmat/Jalan Sultan Azlan Shah; Lebuhraya Sultan Iskandar; Bulatan Dato On; Jalan Tun Sambanthan Brickfields; Jalan Chan Sow Lin; Jalan Sultan; Jalan Cheras; Jalan Pudu; Jalan Genting Klang dan Jalan Pintasan Segambut.

Menurut Fadlun, jumlah hotspot air bertakung berjaya dikurangkan kepada 14 lokasi berbanding lebih 30 lokasi sebelum ini hasil pelaksanaan projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran secara berterusan.

Katanya, DBKL turut mengaktifkan Task Force Hotspot Banjir Kilat Kuala Lumpur ketika hujan lebat bagi memantau keadaan longkang, inlet dan saliran selain melaksanakan kerja pembersihan segera di kawasan terjejas.

Beliau berkata, antara langkah segera yang dilaksanakan termasuk kerja desilting Sungai Toba setiap dua bulan selain penubuhan task force khas potholes selepas hujan reda.

Menurutnya, DBKL juga akan meneruskan projek mitigasi jangka panjang termasuk pembinaan kolam takungan bawah tanah serta penaiktarafan sistem saliran di kawasan berisiko banjir. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast