KUALA LUMPUR – Sistem pengkelasan rakyat kategori T20, M40 dan B40 perlu dinilai semula supaya lebih adil serta selari dengan realiti sebenar kos sara hidup semasa, khususnya di bandar-bandar besar.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, sistem sedia ada disifatkan hanya “pukul rata” menyebabkan ramai rakyat tercicir daripada menikmati subsidi dan bantuan kerajaan.
“Kerajaan diakui sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai program bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Namun pelaksanaan sistem pengkelasan tersebut dilihat mempunyai kelemahan yang memberi kesan kepada golongan pertengahan.
“Ramai rakyat terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur berusaha keras meningkatkan pendapatan melalui peluang ekonomi yang ada.
“Tetapi apabila pendapatan mereka melepasi syarat tertentu, mereka terus kehilangan pelbagai subsidi dan bantuan kerajaan.
“Rakyat terus tersepit walaupun pendapatan meningkat sedikit, kos sara hidup yang ditanggung masih tinggi dan terus meningkat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tengku Azman selaku Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kos sewa rumah, pengangkutan harian, pendidikan anak-anak serta kenaikan harga barang keperluan antara beban utama yang terus menghimpit rakyat bandar.
“Pengkelasan berdasarkan angka pendapatan kasar semata-mata sudah tidak lagi sesuai digunakan dalam keadaan ekonomi semasa.
“Ini kerana ia gagal menggambarkan situasi sebenar kehidupan rakyat di sesuatu kawasan.
“Individu yang tinggal di Kuala Lumpur berdepan kos hidup yang jauh berbeza berbanding mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau negeri lain.
“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kaedah pengkelasan T20, M40 dan B40 dengan mengambil kira faktor lokasi, kos sara hidup setempat serta tanggungan isi rumah,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan lebih fleksibel dan bersasar penting bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan tanpa menafikan hak rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan mereka.
“Sistem lebih adil bukan sahaja mampu membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi, malah dapat menggalakkan mobiliti sosial dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan.
“Jangan sampai sistem ini dilihat menghukum rakyat yang berusaha keluar daripada kesusahan hidup.
“Bantuan dan subsidi perlu disusun secara lebih realistik serta berpaksikan keadaan sebenar rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















