KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan sebarang permohonan pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir selepas kapasiti kolam berkenaan di ibu negara kini dianggarkan hanya tinggal sekitar 30 peratus daripada saiz asal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keadaan itu melibatkan 17 lot tanah kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu yang telah diberi milikan kepada pihak pemaju sejak 2015.
Menurut beliau, kira-kira 70 peratus keluasan kawasan badan air telah diserah milik bagi tujuan pembangunan sehingga menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir.
“DBKL tidak akan meluluskan kebenaran merancang bagi sebarang pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat pembangunan yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dipenuhi,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, penilaian teknikal JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati keadaan itu turut menyukarkan kerja penyelenggaraan kerana jentera tidak dapat memasuki kawasan kolam.
Katanya, kapasiti asal kawasan badan air melibatkan 17 lot tanah itu ialah 114.5 hektar, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar selepas pembangunan dilaksanakan.
Hannah berkata, pemaju yang ingin meneruskan pembangunan perlu membuktikan mereka mampu memenuhi semua syarat teknikal ditetapkan termasuk aspek kapasiti kolam dan akses penyelenggaraan.
Dalam pada itu, beliau berkata satu task force khas turut diwujudkan bagi menyelaras tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur melibatkan kerjasama DBKL, JPS serta agensi berkaitan termasuk kerajaan Selangor. – Malaysiagazette
















