PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui beliau sedikit emosional ketika menyentuh mengenai keluarganya.
Beliau mengakui, ahli keluarganya banyak berkorban dan berdepan tekanan mahupun serangan sepanjang 42 tahun berkhidmat dalam agensi penguatkuasaan itu.
“Mereka ini penyokong saya, sebuah keluarga yang menyokong saya selama ini. Mereka juga terpaksa menghadapi serangan dan tekanan disebabkan serangan terhadap saya.
“Sehingga mereka perlu menempuh cabaran dan dugaan yang tidak sepatutnya mereka hadapi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Clock-Out di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu Azam melakukan gimik “Clock-Out” sebagai simbolik kepada tamatnya perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hampir tujuh tahun sejak 2020.
Pada 24 April lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.
Azam berkata, beliau sering menasihatkan keluarganya supaya tidak terlalu gusar dengan ujian yang dihadapi dan menerima segala perkara dengan tenang.
“Saya banyak kali mengatakan kepada mereka jangan terlalu gusar dengan apa yang ada kerana dunia ini bukan untuk terlalu dirungsingkan, kita hanya perlu menguruskannya sahaja.
“Alhamdulillah mereka dapat bertenang dan terus bersama-sama dengan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















