Tey Boon Hooi didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap kekasihnya menggunakan parang, pada 2 Mei lalu.

Tertuduh, Tey Boon Hooi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 45 tahun menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam, dalam daerah Seberang Perai Tengah pada jam 6 pagi, 2 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, beliau memohon syarat tambahan dikenakan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa pendakwaan.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan atas alasan bekerja sebagai penarik kereta dan perlu menanggung ibu serta teman wanitanya.

Tertuduh turut memaklumkan akan memohon bantuan keluarga untuk membayar jaminan sekiranya dibenarkan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 10 Jun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan mangsa kini masih menerima rawatan di hospital akibat mengalami kecederaan serius di bahagian telinga, tangan, kaki serta perut akibat dicederakan tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast