MELAKA – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian termasuk coli di sebuah butik terkenal, di sini minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda daripada milikan Padini Concept Store.
Kesalahan itu dilakukan di Pusat beli-belah di AEON, Jalan Lagenda, Taman Lagenda, dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 7.50 malam Ahad lalu.
Antara sembilan barangan didakwa dicuri ialah beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, dua pasang bra, seluar pendek dan gaun dengan jumlah keseluruhan kerugian RM491.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan kesalahan kedua atau berikutnya, juga boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain turut menanggung ibunya yang menghidap barah otak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















