Antara dua lokasi simpan ayam sabung di Batu 7, Jalan Airport, Sandakan, Sabah. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan kerana menyimpan 87 ekor ayam sabung dipercayai baka luar negara tanpa lesen sah di dua premis di Batu 7, Jalan Airport, Sandakan, Sabah menerusi serbuan Op Taring Sangkar, hari ini.

Operasi sekitar jam 12.15 tengah hari itu dijalankan oleh Bahagian WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bersama Jabatan Veterinar Sabah.

Komander WCB/PSK Pasukan Gerakan Am JKDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram berkaitan ayam sabung di Sandakan.

“Hasil serbuan di dua premis berasingan dengan satu daripadanya tidak bernombor, kita telah menahan dua lelaki tempatan dengan bertindak sebagai pemilik premis berusia 30 tahun serta penjaga premis berumur 43 tahun.

“Susulan itu, kita telah merampas 87 ekor ayam disyaki ayam sabung, (2) unit patung ayam palsu, (8) sangkar ayam, (8) glove taji, (4) ubat ayam, (5) picagari serta pelbagai jenis vitamin untuk ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara suspek yang ditahan disyaki simpan ayam sabung di dua premis berasingan di Batu 7, Jalan Airport, Sandakan, Sabah. Foto PDRM

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan di dua lokasi terbabit adalah sebanyak RM529,245.

“Kesemua tangkapan serta barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Enakmen haiwan 2015 dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Veterinar Sabah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast