KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pekerja restoran warganegara India yang mengaku bersalah menyebabkan kematian kenalan senegaranya, empat tahun lalu.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhi hukuman itu ke atas Pushpa Raj Alexander, 50, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Julai 2022.
Lelaki itu didakwa atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Murthi di lorong belakang sebuah kafe di Jalan Tun H.S Lee di sini antara pukul 2.20 petang dan 2.30 petang pada 19 Julai 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum ini, tertuduh didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun ditawarkan pertuduhan pilihan menyebabkan kematian selepas pihak pembelaan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pergaduhan antara Pushpa Raj dengan mangsa berikutan telefon bimbitnya diambil rakan lelaki itu.
Tertuduh menghayunkan pisau ke arah perut mangsa dan menikamnya. Lelaki itu mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman berat kerana kesalahan itu serius selain mengambil kira perbuatan tertuduh telah menyebabkan kecederaan mangsa.
“Dalam kes ini, pergaduhan berlaku disebabkan telefon bimbit dan ia telah mendorong tertuduh bertindak untuk mendapatkan semula telefon bimbit tersebut. Namun tindakan tertuduh itu adalah tidak wajar sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Bagaimanapun, peguam A.N. Subramaniyan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya merupakan mangsa dalam kes itu berikutan telefon bimbitnya telah diambil oleh rakan mangsa.
“Telefon bimbit adalah alat untuk tertuduh berkomunikasi dengan keluarganya. Sekiranya telefon bimbit itu tidak diambil, insiden ini tidak akan terjadi,” kata peguam itu. – MalaysiaGazette
















