JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh digesa menarik balik kenyataan susulan ucapan yang didakwa menyentuh dan memperlekeh beberapa sahabat Rasulullah SAW.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali turut menggesa bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu memohon maaf secara terbuka.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana melibatkan sensitiviti umat Islam serta kedudukan para sahabat Nabi dalam tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Para sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang tinggi dan dimuliakan, justeru sebarang perbahasan berkaitan kehidupan mereka perlu dilakukan secara beradab, berhati-hati dan bersandarkan riwayat sahih.
“Sebarang bentuk ucapan yang boleh membawa persepsi penghinaan, merendahkan martabat atau mempermainkan para sahabat Nabi tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang tokoh agama dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.
Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah, Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, hujung minggu lalu.
Sheikh Umar berkata, permohonan maaf terbuka perlu dibuat memandangkan rakaman ucapan berkenaan telah tersebar luas dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa agama dan pihak berkaitan menjalankan siasatan secara telus serta adil bagi memastikan isu berkaitan kesucian agama tidak dipolitikkan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Tambah beliau, Islam mengajar umatnya supaya memuliakan para sahabat Rasulullah SAW kerana golongan itu merupakan generasi yang membawa, mempertahankan dan menyebarkan agama Islam sehingga sampai kepada umat hari ini.
Katanya lagi, kebebasan berceramah dan berpolitik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti akidah serta adab terhadap tokoh-tokoh agung Islam.- MalaysiaGazette
















