Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang Eksekutif Kanan Binaan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 sebagai balasan mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan tuntutan pembayaran untuk sebuah syarikat binaan dan sebuah syarikat kontraktor.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 18 Mei ini terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan membantu kedua-dua buah syarikat terbabit mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan tuntutan pembayaran.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada syarikat-syarikat tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast