KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memuji kejayaan Tan Sri Azam Baki yang disifatkan berjaya melonjakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan penguat kuasa unggul sepanjang menerajui agensi itu.
Menurut beliau, pelbagai kejayaan serta reformasi berjaya dilaksanakan Azam sepanjang 42 tahun perkhidmatannya bersama SPRM.
“Terima kasih dan penghargaan atas perkhidmatan selama 42 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Banyak kejayaan dan reformasi yang telah dilaksana dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Shamsul Azri berkata, jasa serta sumbangan Azam kepada negara khususnya dalam memperkukuh SPRM akan sentiasa dikenang.
“Jasa bakti Tan Sri akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Azam menamatkan perkhidmatannya dalam SPRM selepas lebih empat dekad berkhidmat dalam agensi antirasuah berkenaan termasuk sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sepanjang menerajui SPRM, Azam memperlihatkan pendekatan lebih agresif dan moden termasuk pemulihan aset negara bernilai berbilion ringgit serta pembongkaran pelbagai sindiket jenayah kewangan dan rasuah berprofil tinggi. – MalaysiaGazette
















