Pengerusi MCA Kedah, Chua Thiong Gee

ALOR SETAR – MCA Kedah menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir duduk semeja bagi menyelesaikan isu kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling.

Pengerusi MCA Kedah, Chua Thiong Gee berkata, polemik berhubung projek itu tidak sepatutnya dijadikan bahan pertikaian politik sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap negeri berkenaan.

Menurutnya, sebarang kelewatan projek infrastruktur melibatkan kepentingan rakyat perlu ditegur secara profesional dan adil melalui saluran pentadbiran serta mesyuarat teknikal.

“MCA Kedah berpandangan semua pihak perlu berhenti menuding jari dan memberi tumpuan mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat, khususnya berkaitan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Akmal Nasrullah minggu lalu bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil alih pelaksanaan projek LRA Sungai Limau selepas ia gagal disiapkan mengikut jadual.

Menurut Thiong Gee, Akmal Nasrullah ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pernah menyuarakan kekecewaan kerana projek itu gagal disiapkan walaupun kerajaan negeri memberi jaminan ia akan selesai pada Januari 2024.

Bagaimanapun katanya, kelewatan projek bukan hanya berlaku di Kedah, malah turut melibatkan negeri lain termasuk projek di bawah kementerian sama.

“Oleh itu, pendekatan membuat kenyataan yang tertumpu kepada Kedah menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan konsistensi kerajaan dalam menangani isu kelewatan projek,” katanya.

Beliau berkata, MCA Kedah tidak menafikan rakyat memerlukan penjelasan berhubung kelewatan projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau kerana ia melibatkan kepentingan bekalan air.

Menurutnya, kelewatan projek berkenaan juga dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk isu teknikal, masalah kontraktor serta penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya terdapat dakwaan berlaku penyelewengan melibatkan projek berkenaan, pihak berkaitan perlu disiasat secara telus.

Katanya, perkara itu wajar diberi perhatian memandangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah menyalurkan kira-kira RM900 juta bagi pelaksanaan projek berkenaan namun ia masih belum disiapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast