KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa susulan negara dijangka memasuki fasa Monsun Barat Daya bermula esok hingga September ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fasa monsun itu lazimnya membawa taburan hujan lebih rendah selain cuaca lebih panas dan kering di kebanyakan kawasan.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa, menggunakan air secara berhemat serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata hujan lebat, angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di beberapa kawasan tertentu dalam tempoh berkenaan.

Fenomena garis badai itu berpotensi berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama pada awal pagi dan boleh berlarutan hingga beberapa jam.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dan merujuk maklumat cuaca terkini yang sahih melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dipermudahkan segala urusan, insya-Allah,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast