LONDON – Masa depan Michael Carrick di Manchester United kini semakin jelas apabila dia hampir disahkan sebagai pengurus tetap kelab tersebut selepas berjaya mengubah prestasi pasukan sejak mengambil alih tugas pada Januari lalu.
Pakar perpindahan bola sepak dunia, Fabrizio Romano berkata, menurut sumber dalaman, rundingan kontrak antara Carrick dan pihak pengurusan berada di fasa akhir.
“Keputusan ini hadir selepas prestasi meyakinkan yang ditunjukkan oleh pasukan di bawah kendaliannya sejak mengambil alih peranan secara sementara.
“Carrick juga dilaporkan mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak dalam kelab termasuk lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, serta barisan pemain.
“Sekiranya pelantikan ini dimuktamadkan, Carrick dijangka akan menandatangani kontrak baharu dalam masa terdekat sebagai simbol kepercayaan jangka masa panjang kelab terhadapnya,” kata Fabrizio di media sosial miliknya.
Bekas pemain tengah England berusia 44 tahun itu dilantik selaku pengurus sementara sehingga penghujung musim susulan penamatan kontrak Ruben Amorim selepas kempen hambar bersama The Red Devils.
Di bawah bimbingan Carrick, United berjaya mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara berbaki tiga perlawanan musim ini selepas dua musim gagal beraksi di pentas berprestij Eropah itu.
Carrick yang mula mengambil alih pasukan pada 13 Januari lalu turut membawa United melonjak daripada tangga ketujuh ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris.
Sepanjang mengendalikan pasukan, dia mencatat 10 kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan selain hanya tewas dua kali. – Agensi
















