MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila kadar bekerja graduannya meningkat kepada 99.2 peratus bagi tahun 2025 berbanding 97.9 peratus tahun lalu.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu membuktikan graduan universiti berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu terus mendapat permintaan tinggi daripada industri.
Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan (GM) universiti itu turut meningkat kepada 98.7 peratus tahun ini berbanding 98.1 peratus pada 2024.
“Lebih membanggakan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian masing-masing turut meningkat daripada 65.1 peratus pada 2024 kepada 70.1 peratus tahun ini membabitkan seramai 1,698 graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Massila berkata, peningkatan turut direkodkan dari segi pendapatan graduan apabila jumlah penerima gaji premium RM4,000 ke atas meningkat kepada 279 orang atau 11.8 peratus berbanding 256 orang atau 10.8 peratus tahun lalu.
Katanya, seramai 488 graduan atau 20.6 peratus pula memperoleh gaji RM3,500 ke atas pada tahun ini berbanding 19.6 peratus pada 2024.
“Purata gaji bulanan graduan juga meningkat kepada RM2,821.70 pada 2025 berbanding RM2,742.80 tahun sebelumnya,” katanya.
Massila berkata, kejayaan itu didorong oleh kurikulum pengajian yang sentiasa diselaraskan mengikut keperluan semasa industri dan majikan.
Menurutnya, sokongan berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui dana intervensi kebolehpasaran graduan termasuk pensijilan profesional dan jaminan penempatan pekerjaan turut membantu meningkatkan pencapaian tersebut.
“UTeM bukan sekadar melahirkan graduan yang mudah mendapat pekerjaan, malah berjaya menghasilkan bakat berkualiti tinggi yang diiktiraf industri melalui peningkatan pendapatan yang signifikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















