Mordi Bimol ketika menziarahi bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kebajikan bekas atlet kebangsaan sentiasa diberi perhatian menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Usaha berterusan itu diterjemahkan melalui pelaksanaan program Ziarah Kasih terhadap bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng, yang turut disertai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, hari ini.

Program berkenaan bukan sahaja bertujuan meninjau keadaan semasa bekas atlet terbabit, malah menjadi platform penting bagi memastikan setiap bentuk bantuan dan sokongan yang disalurkan kerajaan terus memenuhi keperluan semasa golongan atlet selepas persaraan.

Lee Peng merupakan antara atlet para negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tiga pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2021 dan kini terus menerima pemantauan serta bantuan kebajikan daripada YAKEB.

Menurut Mordi, kebajikan atlet termasuk selepas persaraan kekal menjadi keutamaan KBS selaras usaha memastikan jasa dan pengorbanan mereka terus dihargai.

Mordi Bimol ketika menziarahi bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng hari ini.

“KBS akan terus memperkukuh kerjasama dengan YAKEB bagi memastikan penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan menyeluruh merangkumi aspek kebajikan, kesihatan serta kelangsungan hidup bekas atlet.

“Ini bukan sekadar bantuan kebajikan semata-mata, tetapi tanda penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan mereka yang pernah membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa YAKEB memainkan peranan penting sebagai institusi kebajikan utama dalam menyelaras bantuan kepada bekas atlet yang berdepan cabaran kesihatan, kewangan dan kehidupan selepas menamatkan karier sukan.

Sebelum ini, YAKEB telah membantu menyalurkan beberapa bentuk bantuan kepada Lee Peng termasuk penggantian kerusi roda elektrik, bantuan rawatan susulan bersama pakar neurologi di Hospital Kuala Lumpur serta bantuan kewangan bulanan tertakluk kepada syarat kelayakan semasa.

Pendekatan proaktif yang digerakkan KBS dan YAKEB itu selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial atlet negara agar tiada bekas atlet yang tercicir atau terpinggir selepas menamatkan khidmat kepada negara.

Usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk membina ekosistem sukan yang lebih inklusif, prihatin dan mampan demi kesejahteraan komuniti sukan tanah air secara keseluruhan. – MalaysiaGazette

Mordi Bimol ketika menziarahi bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast