KUALA LUMPUR – Isu berkaitan sistem pengurusan pekerja asing kembali menjadi perhatian selepas kenyataan terkini Bestinet berhubung kedudukan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).
Perkembangan itu mencetuskan desakan agar kerajaan tampil memberikan penjelasan bagi mengelak kekeliruan serta menjaga reputasi negara peringkat antarabangsa khususnya dalam isu tadbir urus pengambilan pekerja migran.
Dalam kenyataannya, Bestinet melalui firma guaman Lui & Bhullar memaklumkan, pihaknya mengambil maklum penjelasan ILO bahawa sebarang pemerhatian teknikal pada 2013 tidak merupakan pengesahan institusi terhadap FWCMS atau syarikat tersebut.
“Bestinet mengiktiraf sepenuhnya bahawa sebarang pemerhatian teknikal atau komen awal yang dibuat oleh ILO pada 2013 diberikan dalam konteks khusus dan ia tidak merupakan pengesahan institusi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, falsafah reka bentuk FWCMS berasaskan prinsip antarabangsa seperti ketelusan, tadbir urus, kebolehkesanan dan perlindungan pekerja migran yang selari dengan prinsip diperjuangkan badan antarabangsa.
“Rujukan Bestinet kepada keselarasan ini merujuk kepada falsafah reka bentuk dan objektif tadbir urus sistem, dan tidak pernah dimaksudkan sebagai gambaran pengesahan rasmi ILO,” menurut kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, syarikat itu menegaskan, penjelasan ILO tidak seharusnya disalah tafsir sehingga merendahkan pengiktirafan antarabangsa yang diterima FWCMS termasuk melalui World Summit Awards (WSA).
“Penjelasan tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sehingga merendahkan kepentingan pengiktirafan antarabangsa yang diterima FWCMS,” menurut kenyataan itu.
Bestinet turut menjelaskan, sistem tersebut telah melalui penelitian serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun sebelum dioperasikan dan digunakan merentasi beberapa pentadbiran.
Menurut syarikat itu, FWCMS direka sebagai infrastruktur pematuhan bagi menangani kelemahan sistemik dalam proses pengambilan pekerja rentas sempadan, termasuk aspek keselamatan siber, perlindungan data serta kebolehkesanan proses.
Susulan perkembangan tersebut, pemerhati melihat kerajaan perlu tampil memperincikan pendirian dan hala tuju dasar berkaitan sistem pengurusan pekerja asing bagi memastikan keyakinan awam dan komuniti antarabangsa terus terpelihara.
Untuk rekod, semalam, ILO menafikan ia pernah mengiktiraf FWCMS sambil menjelaskan bahawa ia hanya memberikan komen awal mengenai sistem itu kepada Bestinet pada tahun 2013, semasa taklimat oleh pengarah eksekutif firma tersebut di Bangkok. – MalaysiaGazette
















