MAKKAH – Pelaksanaan inisiatif Makkah Route telah menyaksikan transformasi besar dan perubahan paling signifikan dalam operasi haji Malaysia.
Pengurus Maktab 63, Shahidan Taib yang hampir tiga dekad berkhidmat dengan Lembaga Tabung Haji berkata, kalau dahulu kebanyakan urusan dilakukan secara manual, menggunakan buku daftar dan rekod fizikal, namun sekarang semuanya lebih pantas dengan sistem digital.
Menurut beliau, penggunaan teknologi bukan sahaja mempercepatkan penyimpanan rekod dan akses data, malah membantu melancarkan keseluruhan operasi haji negara.
Katanya, antara perubahan paling ketara yang dirasai ialah pengurusan ketibaan jemaah haji di Arab Saudi menerusi inisiatif Makkah Route yang memudahkan urusan imigresen dan perjalanan jemaah.
“Dulu jemaah perlu menunggu sehingga lima atau enam jam di lapangan terbang untuk menyelesaikan urusan imigresen.
“Tetapi sekarang, dengan adanya Makkah Route di KLIA, urusan imigresen diselesaikan lebih awal sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya ketika berkongsi pengalaman bekerja.
Tambah beliau, sebaik sahaja tiba di Jeddah, jemaah hanya perlu turun dari pesawat dan terus menaiki bas tanpa perlu menunggu lama di lapangan terbang.
“Dari turun kapal terbang sehingga menaiki bas hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Itu satu perubahan yang sangat besar berbanding dahulu,” ceritanya tentang pengalaman menguruskan jemaah haji.
Beliau yang pertama kali bertugas di Tanah Suci pada tahun 2003 berkata, pengalaman ketika musim sejuk pada waktu itu menjadi kenangan paling manis sepanjang perkhidmatannya.
“Kali pertama datang ke Makkah dan Madinah waktu musim sejuk, rasa macam berada di Eropah pula. Itu antara momen yang saya tak dapat lupakan,” katanya.
Setakat ini, beliau sudah enam kali berkhidmat di Tanah Suci dan mengakui setiap musim haji memberi pengalaman berbeza.
Mengimbau cabaran paling sukar pernah dilalui, Shahidan berkata, pelaksanaan awal Sistem Taradudiah atau pengangkutan bas shuttle pada tahun 2003 antara pengalaman paling mencabar apabila pergerakan jemaah ke masyair tidak berjalan lancar.
“Ketika itu banyak keputusan terpaksa dibuat secara ad hoc dan petugas bekerja dalam keadaan sangat mencabar.
“Namun sekarang sistem pengangkutan semakin baik dan kawalan pihak Arab Saudi juga lebih ketat bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya.
Menurut beliau, tindakan Kerajaan Arab Saudi memperketat kemasukan jemaah tanpa visa haji ke kawasan masyair turut membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan jemaah Malaysia. – MalaysiaGazette
















