MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) mengakui cabaran pengurusan haji semakin meningkat setiap tahun apabila jemaah dan masyarakat kini meletakkan harapan lebih tinggi terhadap perkhidmatan yang disediakan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, harapan itu menjadi cabaran kepadanya kerana perkhidmatan yang dianggap cemerlang pada musim haji lalu mungkin tidak lagi mencukupi untuk memenuhi jangkaan jemaah pada tahun ini.
Apatah lagi, jemaah juga kini lebih berinformasi dan sensitif terhadap kualiti perkhidmatan.
Lantaran itu, beliau mengingatkan bahawa amanah yang digalas oleh TH sangat besar.

“Ramai jemaah yang telah menunggu lama untuk ke Tanah Suci. Ramai juga dalam kalangan warga emas terus gagahkan diri untuk tunaikan ibadat haji walaupun paras tenaga mungkin sudah tidak sekuat dahulu.
“Saya ada terbaca komen daripada siaran langsung pelepasan jemaah haji di Facebook Tabung Haji. Saya cukup terkesan dengan satu komen daripada waris ataupun anak kepada jemaah ini. Beliau tulis di komen “kami serahkan ibu ayah kami kepada Tabung Haji ya”.
“Begitu besarnya amanah yang kita galas jika kita selami sedalamnya kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh anak-anak para jemaah ini kepada kita semua,” katanya katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Operasi Haji Tanah Suci 1447H di sini.
Pada musim haji tahun ini, TH membawa 632 petugas termasuk 339 petugas rombongan kebajikan, 224 petugas perubatan dan 69 petugas lain-lain bagi membantu operasi di Tanah Suci.
Oleh itu, Mustakim mengingatkan petugas haji supaya menyantuni setiap jemaah haji seperti ahli keluarga sendiri sepanjang operasi haji di Tanah Suci.
“Jemaah haji bukan sekadar pelanggan yang menerima perkhidmatan, sebaliknya mereka perlu dianggap sebagai ibu bapa dan saudara-mara yang perlu dibantu dengan penuh keikhlasan,” ujarnya.

Menurutnya, setiap petugas perlu melaksanakan amanah dengan jiwa yang tenang, hati yang lapang serta sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselesaan jemaah.
Dalam ucapannya, beliau berkata, TH menyasar untuk terus mempertahankan pengiktirafan perkhidmatan bertaraf dunia pada musim haji 1447H dengan mengekalkan standard operasi terbaik serta semangat kebersamaan dalam kalangan petugas haji di Tanah Suci.
Jelasnya, operasi haji setakat ini berjalan lancar hasil kerja keras dam komitmen luar biasa semua petugas.
Beliau berkata, operasi haji kini sudah memasuki hari ke-25 sejak penerbangan pertama KT001 dan semua petugas memainkan peranan besar dalam memastikan kebajikan serta keselesaan jemaah terus terpelihara.
Katanya, kejayaan TH selama lebih 60 tahun bukan dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil pengalaman panjang mengharungi pelbagai cabaran dan penambahbaikan berterusan.
“Oleh kerana Tabung Haji telah wujud sekian lama, mungkin kita tidak menyedari bahawa perkhidmatan TH sebenarnya bertaraf dunia.
“TH telah menerima Anugerah Labaytum daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun berturut-turut sebagai pengiktirafan terhadap kualiti pengurusan haji Malaysia,” tambahnya.

Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji 1446H turut mencatat pencapaian membanggakan apabila mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal 85 peratus.
Katanya, TH sentiasa berusaha menambah baik mutu perkhidmatan termasuk melalui pelantikan syarikat penyedia perkhidmatan baharu serta penggunaan sistem sokongan tambahan bagi membantu kebajikan jemaah di Tanah Suci.
Beliau berkata, perubahan dasar dan kawalan lebih ketat oleh Kerajaan Arab Saudi dari aspek keselamatan, kesihatan serta pergerakan jemaah turut menuntut TH menyesuaikan operasi haji dengan lebih cekap dan tersusun.
Menurut beliau, semua penambahbaikan dilakukan bagi memastikan jemaah haji Malaysia terus dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selesa, selamat dan tenang.
“Ini adalah amanah yang sangat besar bagi menyantuni tetamu Allah kerana perjalanan haji ini, perjalanan teragung mereka, mungkin hanya sekali seumur hidup,” ujar Mustakim lagi. – MalaysiaGazette
















