KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, siasatan awal mendapati, keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa Lim Guang Eng dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata, perkara itu disedarinya seawal Januari 2020 ketika menganggotai pasukan petugas khas siasatan kes tersebut.
Menurut beliau, terdapat beberapa kertas siasatan dibuka bermula 2018 berkaitan kes terowong dan jalan utama di Pulau Pinang yang disiasat oleh empat pegawai penyiasat.
Katanya, siasatan ketika itu tidak menjurus kepada Guan Eng semata-mata, sebaliknya terhadap keseluruhan kes.
Ujar Zulhilmi, jika terdapat keterangan yang tidak mencukupi, perkara itu perlu dilaporkan kepada ketua jabatan bagi membolehkan saksi-saksi dipanggil semula untuk melengkapkan siasatan.
Menjawab soalan peguam Haijan Omar pada sesi pemeriksaan balas, Zulhilmi berkata, sekitar Jun 2020, beliau dilantik menganggotai pasukan siasatan kes terhadap Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang.
Menurut saksi pendakwaan ke-38 (SP38), sewaktu mengambil alih kes berkenaan, beliau menerima fail siasatan yang mengandungi memo yang menyatakan tiada kes terhadap Guan Eng.
Peguam: Ketika ambil alih, terdapat memo atau minit dalam fail yang katakan tiada kes terhadap anak guam saya?
Saksi: Setuju.
Peguam: Apa perkara lain yang terkandung dalam memo itu?
Saksi: Apa yang saya faham, siasatan dihentikan.
Peguam: Siapa penulis memo tersebut?
Saksi: Saya tak pasti, kemungkinan pegawai penyiasat Penguasa Kanan Rosli.
Peguam: Setuju atau tidak perkara berkaitan memo dan tiada kes ini berterusan sehingga ke tahun 2020 sebelum kamu dilantik sebagai pegawai penyiasat?
Saksi: Setuju.
Peguam: Kalau kes itu NFA (tiada tindakan lanjut), jika ada keterangan baharu, fail boleh dibuka semula, setuju?
Saksi: Betul.
Dalam keterangannya, Zulhilmi bersetuju bahawa keterangan tiga ahli perniagaan turut diambil bagi membantu siasatan.
Ujarnya, mereka ialah Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli; Datuk Seri G. Gnanaraja dan Datuk Ewe Swee Kheng (yang meninggal dunia pada Oktober 2021).
Menjawab soalan Haijan, saksi bersetuju bahawa walaupun keterangan ketiga-tiga saksi tersebut dirakam, ia masih tidak mencukupi untuk mendakwa Guan Eng.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 4 dan 5 Jun ini.
Mahkamah turut menetapkan 23 dan 24 Julai, 3 dan 7 Ogos, 9 dan 10 September, 27, 28 dan 29 Oktober, 18 dan 19 November serta 9 dan 10 Disember ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette
















