Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 04 MEI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima beberapa dokumen serta rakaman video daripada Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi hadir bersama lima peguam kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Kehadiran Rafizi hari ini ke SPRM adalah untuk menyerahkan beberapa dokumen dalam bentuk cetakan serta rakaman video di dalam alat pemacu kilat USB (pendrive) yang dikatakan berkaitan dengan Syarikat ARM Limited UK.

“Serahan dokumen-dokumen tersebut adalah secara sukarela dan ia adalah untuk membantu siasatan yang dilakukan terhadap beliau (Rafizi),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hafaz, SPRM turut mengambil keterangan tambahan daripada Rafizi dan proses tersebut selesai kira-kira jam 1.30 petang.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan hari ini menyerahkan dokumen bukti tambahan 28 dokumen kepada pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes ARM.

Rafizi berkata, dokumen itu diserahkan sebagai keterangan tambahan daripada pihaknya yang dikumpulkan sejak kali pertama kerjasama itu dibincangkan dan akan dipadankan dengan setiap keputusan, kenyataan dan ucapan beberapa pemimpin kanan negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast