KUALA LUMPUR – Sebuah bilik UPS Backup Battery di tingkat tiga musnah terbakar 40 peratus di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.32 pagi.
“Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I, S. Thirugaiyah, sebaik anggota tiba di lokasi mendapati benar berlaku kebakaran di bilik UPS Backup Baterry.
“Tindakan pantas anggota telah berjaya memadam keluasan kebarakan 5×5 kaki persegi
dan api berjaya dikawal pada jam 7.46 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seramai 17 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dibantu BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi bersama sebuah FRT, LFRT dan EMRS.
Tambahnya lagi, dalam kejadian itu tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca insiden masih dalam siasatan.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi ini berhubung prestasi ekonomi negara pada suku pertama di Dewan Persidangan Sasana Kijang terpaksa ditukarkan ke Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia.
Perubahan lokasi itu dimaklumkan menerusi makluman kepada media pagi tadi. – MalaysiaGazette
















