Presiden Parti Pribumi (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 April 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Kerajaan Madani mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibuat secara tergesa-gesa.

Menurutnya, ia mungkin mempunyai tujuan politik untuk memastikan sokongan berterusan parti DAP terhadap kerajaan campuran yang ada hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata.

Sebaliknya, ujar beliau, kajian yang menyeluruh mesti terlebih dahulu dibuat untuk mengkaji kesan dasar itu terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

Katanya, ini termasuk implikasi terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa.

“Perlu diingatkan bahawa pendidikan bukan semata-mata medium untuk melahirkan modal insan untuk tujuan pembangunan negara tetapi juga alat pembinaan dan penyatuan negara bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mengimbau pertemuannya dengan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan cadangan pengiktirafan sijil UEC.

Jelasnya, kajian oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa itu mendapati sukatan mata pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, ujarnya, beliau telah mencadangkan kepada Dong Zong supaya KPM menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan mata pelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.

“Namun, cadangan saya tersebut tidak dipersetujui oleh Dong Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan sijil UEC untuk kemasukan ke semua program ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan memberikan implikasi yang besar terhadap sistem pendidikan negara.

Kata beliau, pelajar warganegara Malaysia sebelum ini secara umumnya layak dipertimbangkan kemasukan ke program ijazah di IPTA melalui saluran Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi.

Jelasnya, sukatan mata pelajaran dan peperiksaan di peringkat tersebut ditadbir oleh badan kerajaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan IPTA.

Namun, ujarnya, dengan pengiktirafan sijil UEC, terdapat satu lagi saluran bagi kemasukan ke IPTA yang sukatan mata pelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh sebuah badan bukan kerajaan yang piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan.

“Setakat ini tidak ada mana-mana badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti,  pengauditan sukatan mata pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan dan pemarkahan UEC.

“Keadaan ini akan mewujudkan dwistandard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan yang berbeza dengan standard yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyifatkan pengiktirafan UEC adalah hadiah paling buruk kerajaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Katanya, ia merupakan pengkhianatan terhadap pengorbanan guru-guru di seluruh negara yang selama ini amat komited dalam menjayakan hasrat dasar dan falsafah pendidikan negara.

“Saya menyeru kerajaan supaya kembali kepada asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan dalam mempertimbangkan pengiktirafan sijil UEC,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast