KUANTAN – Polis melupuskan pelbagai barang kes kontraban bernilai kira-kira RM2 juta melibatkan rokok tidak bercukai serta mercun dan bunga api hasil beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, perlupusan tersebut dilakukan selepas semua kes selesai melalui proses perundangan dan mendapat perintah mahkamah.

Menurutnya, sepanjang operasi sehingga tahun 2026, seramai 12 lelaki tempatan berusia antara awal 20-an hingga lewat 40-an berjaya ditahan sebelum dituduh di mahkamah.
“Polis berjaya merampas sebanyak 11,112 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama termasuk U2, John, Canyon, Gudang Garam, Surya, Galaxy Maze, Lee dan Patik.
“Turut dirampas ribuan unit mercun dan bunga api pelbagai jenis seperti Mercun Bola, Roman Candle, Thunder Clap, Red Cracker, Banana Rain, Cili Padi, Shoot Cake dan Moen Rockets,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Kontraban, di sini hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Cawangan Siasatan Khas (D9), Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Cawangan Pelesenan IPK Pahang serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Beliau berkata sindiket dikesan menggunakan rumah, stor dan premis perniagaan sebagai lokasi penyimpanan sebelum barang larangan itu dijual secara runcit dan borong tanpa permit sah.
Jelasnya kes rokok tidak bercukai disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes mercun dan bunga api disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923. – MalaysiaGazette















