Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Nik Abdullah.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Mohd Amar Abdullah menyifatkan tindakan menyamakan lepasan tahfiz dengan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah tidak tepat dan tidak wajar.

Ini kerana, menurut Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat itu, lepasan tahfiz telah lama mengikuti Kurikulum Kebangsaan dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk layak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sama seperti pelajar sekolah di aliran perdana Kementerian Pendidikan (KPM).

Tegas beliau, tindakan mengaitkan isu itu dengan lepasan tahfiz seolah-olah memberikan laluan khas kepada mereka adalah satu penipuan fakta dan cubaan untuk memperdaya rakyat serta mencabar prinsip pendidikan negara.

Ujarnya, pelajar tahfiz bukan sahaja menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama Islam, malah turut mempelajari mata pelajaran akademik seperti Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Matematik; Sains; Sejarah; Pendidikan Islam; Pendidikan Syariah Islamiyah; Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, serta Tasawwur Islam.

Malah, tambahnya, sebahagian besar pelajar tahfiz menduduki peperiksaan awam kebangsaan terutamanya SPM dan STAM yang setanding pelajar sekolah kebangsaan.

“Ini bermakna lepasan tahfiz telah memenuhi syarat asas kemasukan ke IPTA, sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) biasa.

“Bagi pelajar tahfiz yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan sepenuhnya (contohnya di madrasah atau pondok penuh), mereka tetap mendaftar untuk peperiksaan SPM secara calon persendirian melalui program Fast Track SPM yang ditawarkan oleh banyak institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sekolah dan madrasah tahfiz tidak pernah menuntut agar sijil dalaman mereka diberi pengiktirafan setaraf SPM bagi kemasukan ke IPTA.

Sebaliknya, ujar beliau, pelajar tahfiz akur dan bersedia menduduki peperiksaan kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menjadikan sekolah tahfiz sebagai hujah menyokong pengiktirafan sijil peperiksaan asing (seperti UEC) yang berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, lepasan sekolah tahfiz juga telah lama membuktikan bahawa mereka mampu menyeimbangkan kecemerlangan hafazan al-Quran dengan pencapaian akademik melalui penyertaan dalam peperiksaan SPM dan peperiksaan kebangsaan lain.

“Oleh itu, tidak wajar menyamakan kedudukan sekolah tahfiz dengan sekolah yang menggunakan sistem peperiksaan selain kebangsaan hanya untuk menghalalkan tuntutan politik pihak tertentu.

“Tindakan ini jelas merupakan pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast