Dong Zong.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) memohon kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Dong Zong dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan oleh Jemaah Menteri itu penuh dengan pernyataan yang samar-samar serta mengandungi pelbagai sekatan yang menjadikannya sekadar langkah separuh hati.

Menurutnya, pengumuman itu jauh daripada harapan masyarakat Cina, gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan dan mendedahkan kelemahan yang wujud dalam sistem sedia ada.

“Kami berpandangan bahawa kerajaan seharusnya bersikap lebih terbuka, menghargai sumbangan pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan melaksanakan pembaharuan sistem yang substantif bagi memastikan akses pendidikan yang inklusif dan adil, agar penghijrahan bakat tempatan dapat dikurangkan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengumuman Jabatan Pendidikan Tinggi, terdapat dua mekanisme berbeza bagi pelajar UEC yang memohon kemasukan ke universiti awam.

Dakwanya, pemegang UEC yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dibenarkan memohon semua program pengajian melalui sistem UPUOnline, manakala pelajar yang hanya mengambil dan lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM pula dihadkan kepada empat program pengajian yang berkaitan dengan bahasa Cina sahaja.

“Mengapakah wujud perbezaan yang begitu ketara dalam pemilihan program pengajian bagi pelajar SMPC yang sama-sama memiliki sijil UEC?

“Apakah rasional di sebalik penetapan dua standard yang berbeza ini? Pihak berkenaan perlu memberikan penjelasan dengan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, pendekatan yang hanya membenarkan pemegang UEC dengan kelayakan SPM Bahasa Melayu dan Sejarah memasuki bidang pengajian tertentu bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar dalam merancang laluan pendidikan mereka, malah turut mengehadkan peluang perkembangan diri dan potensi masa depan mereka.

Dakwanya, ini jelas bertentangan dengan prinsip `peluang yang adil’ yang sering ditekankan oleh KPT.

“Sejak sekian lama, masyarakat Cina berharap agar pelajar SMPC dapat memohon semua program pengajian di universiti awam dengan UEC.

“Pendekatan semasa yang mengekang dan meminggirkan UEC ini sama sekali tidak memberi manfaat kepada usaha pembangunan modal insan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Dong Zong menggesa kerajaan agar menghargai sumbangan sistem pendidikan SMPC terhadap pembangunan negara dan masyarakat.

Katanya, kerajaan harus meninggalkan pertimbangan politik yang sempit serta sikap konservatif yang mengongkong pembaharuan dasar, dan sebaliknya mengamalkan pendekatan yang lebih progresif dan terbuka demi merealisasikan kesaksamaan pendidikan serta membendung penghijrahan bakat yang semakin berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast