KUALA LUMPUR – Isu panas berhubung peluang lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah dijadikan isu politik terutamanya Pas yang dilihat bersungguh-sungguh memainkan naratif kerajaan Madani tunduk kehendak DAP, kata Amidi Abdul Manan.
Sedangkan menurut Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR itu, kebenaran untuk lepasan UEC melanjutkan pengajian ke IPTA telah dibuat pada 2018 oleh UMNO yang ketika itu diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.
“PAS dilihat bersungguh-sungguh memainkan naratif bahawa Kerajaan MADANI tunduk kepada kehendak DAP, kononnya bagi menutup serangan naratif terhadap Saudara Nik Zawawi, Setiausaha Majlis Syura Dewan Ulama PAS.
“Namun, satu fakta yang perlu disedari ialah kebenaran untuk lulusan UEC melanjutkan pengajian ke IPTA sebenarnya telah dibuat pada tahun 2018 oleh parti Melayu terbesar ketika itu, iaitu UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mendakwa UMNO-Barisan Nasional pada ketika itu dilihat amat terdesak untuk mendapatkan sokongan undi kaum Cina dan terpaksa tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf UEC.
Tambahnya, bukan sekadar itu, UMNO juga bersetuju untuk melanjutkan pajakan 99 tahun SMP Chung Hwa, Kuala Lumpur yang merupakan sebuah sekolah persendirian Cina.
UMNO juga pada 2018 menurut Amidi telah memberi kelulusan kepada pembukaan sebuah universiti swasta dari China yang mana Menteri Pendidikan Tinggi pada ketika adalah Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan pemimpin UMNO.
“Namun apakan daya, walaupun pelbagai tawaran besar dimuatkan dalam manifesto BN ketika itu, UMNO dan BN akhirnya tetap terpaksa meninggalkan Putrajaya.
“UMNO perlu memberikan justifikasi mengapa keputusan tersebut dibuat ketika mereka menjadi parti Melayu terbesar yang menerajui kerajaan,” katanya lagi.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, kerajaan bersetuju membuka laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.
Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan perkara itu sebagai sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi.
Katanya, calon daripada aliran berkenaan yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit, berdasarkan pakej mata pelajaran ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM). – MalaysiaGazette
















