TERLETAK di tengah-tengah Bandar Warisan Taiping, Muzium Perak bukan sekadar sebagai salah satu monumen sejarah, malah ia merupakan institusi penting dalam memelihara khazanah budaya serta warisan negeri dan negara. Dibina pada tahun 1883 hasil idea oleh Residen British Ketiga di Negeri Perak, Sir Hugh Low, muzium itu merupakan muzium pertama yang diwujudkan di negara ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) akan dibuka secara percuma kepada seluruh warganegara Malaysia pada 18 Mei ini sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, yang mempelawa orang ramai mengambil peluang meneroka sejarah, warisan dan identiti negara melalui pelbagai pameran interaktif yang disediakan di muzium seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mendekatkan masyarakat dengan khazanah warisan negara selain menyemarakkan semangat menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembinaan negara bangsa.

“Jom luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk meneroka khazanah warisan negara serta menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembinaan negara bangsa,” menurut hantaran tersebut.

Antara muzium yang terlibat ialah Muzium Seni Bina Malaysia di Bandar Hilir, Melaka, Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur, Muzium Perak di Taiping, Muzium Kota Kayang di Perlis serta Muzium Automobil Nasional di Sepang, Selangor.

Semua muzium yang terlibat dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Hari Muzium Antarabangsa disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan muzium sebagai medium pendidikan, pemeliharaan sejarah dan pengukuhan identiti budaya negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast