KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membuka tawaran pembiayaan pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keutamaan diberikan kepada pelajar Tahfiz.
“Syarat-syarat minimum termasuklah pelajar dari aliran STEM. Cuma kali ini walaupun tawaran dibuka kepada semua pelajar berkelayakan, namun KEUTAMAAN diberikan kepada Pelajar TAHFIZ aliran STEM.
“Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga. Fasa terakhir temuduga adalah dengan Pengerusi MARA sendiri untuk sesi Tebuk Hafazan atas Tasmik Al-Quran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, iklan dan syarat kelayakan akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun katanya, pelajar-pelajar baharu yang mahu memohon kadet pilot ini mesti memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh akademi-akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group(MAG) dan BATS.
Selain itu, akademi-akademi yang ditaja MARA juga mesti ada perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menjamin pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang bakal mendapat pembiayaan MARA.
Dalam pada itu, ketika menjawab kepada satu komen netizen yang mempersoalkan sejak bila aliran tahfiz memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Asyraf menjawab perkara ini sudah lama berlaku.
Jelas beliau, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sendiri memiliki silibus STEM tulen dan tahfiz malah banyak sekolah berasrama penuh (SBP) integrasi juga memiliki aliran pendidikan serupa.
Selain itu, sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) juga menawarkan aliran STM dan tahfiz.
“Untuk pengetahuan anda, 221 pelajar MRSM yang menghafaz 30 Juzuk al-Quran berjaya mendapat semua A dalam SPM termasuk subjek STEM seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















