JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Mohd Hasbie Muda yakin gabungan itu mampu memecahkan dominasi Perikatan Nasional (PN) di negeri tersebut sekiranya seluruh kepimpinan dan jentera parti diberi keyakinan serta sokongan berterusan.
Hasbie yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, Terengganu tidak sepatutnya lagi dilihat sebagai negeri yang mustahil untuk dimenangi PH walaupun ia dianggap kubu kuat pembangkang.
Menurutnya, strategi menyerang perlu digerakkan secara agresif termasuk di kawasan yang dilihat sukar ditembusi.
“Strategis perang legenda China, Sun Tzu pernah menyebut pertahanan terbaik ialah menyerang. Sebab itu walaupun Terengganu dianggap kubu kuat mereka, kita tetap mesti menyerang dan mencabar mereka.
“Semalam mereka datang menyerbu negeri kita dengan ribuan penyokong, tetapi pencapaian negeri yang mereka tadbir jauh lebih rendah dan memalukan berbanding negeri-negeri di bawah PH,” katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan di Persada Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemampuan PH untuk terus memperkukuhkan pengaruh di Terengganu menjelang landskap politik akan datang.
Menurut Hasbie, Selangor yang diterajui PH menyumbang kira-kira 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, manakala negeri dipimpin Pengerusi PN hanya sekitar 2.5 peratus walaupun memiliki sumber hasil yang besar.
Katanya, PH kini hanya mempunyai dua kategori negeri iaitu ‘negeri harapan’ dan ‘negeri yang belum harapan’, sambil menolak tanggapan terdapat negeri yang sudah tiada harapan untuk ditawan.
“Kita bukan minta dana atau peruntukan besar. Kita cuma mahu keyakinan daripada pimpinan dan seluruh ahli PH bahawa suatu hari nanti kita mampu tawan Terengganu.
“Mereka bukan terlalu kuat, malah prestasi pentadbiran mereka juga lemah. Tetapi kita masih gagal kerana belum benar-benar bekerja untuk mengambil alih negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hasbie turut mengingatkan Terengganu mempunyai sejarah besar dalam landskap politik negara apabila menjadi antara negeri terawal menolak gabungan Perikatan, UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1959 selain menjadi antara negeri paling kuat menyambut gelombang reformasi pada 1998.
Beliau berkata, PH tidak boleh membiarkan Terengganu terus menjadi kubu selesa pembangkang kerana ia akan memberi ruang kepada jentera lawan digerakkan ke negeri-negeri lain untuk menyerang kubu kuat PH.
“Kita mungkin belum boleh memberi jaminan mengambil alih kerajaan negeri dalam masa terdekat, tetapi kita ada tekad untuk sekurang-kurangnya menambah kerusi Parlimen bagi memastikan Perdana Menteri kekal menerajui negara untuk penggal kedua,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















