Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM100 juta diperuntukkan menerusi inisiatif Progressive Acceleration for Capability & Employability (PACE) dalam usaha mempercepat pembangunan bakat tempatan serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, program baharu di bawah KESUMA dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) itu menjadi antara agenda utama kerajaan dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan global yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.

Menurut beliau, PACE bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya satu pelaburan strategik jangka panjang bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri masa depan.

“PACE bukan sekadar program latihan biasa, tetapi satu pelaburan besar kerajaan untuk membina tenaga kerja masa depan yang lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi tuntutan ekonomi baharu yang semakin dipacu teknologi dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pengumuman rasmi inisiatif berkenaan yang mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkasa pembangunan modal insan.

Katanya, sebanyak 10 program strategik akan digerakkan di bawah PACE melibatkan pelbagai sektor termasuk pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), pembangunan bakat belia, ekonomi digital, pengukuhan perusahaan tempatan serta peningkatan peluang pekerjaan golongan gig dan komuniti inklusif.

Tambah beliau, pendekatan bersasar yang digunakan menerusi program itu bertujuan memastikan setiap pelaburan kerajaan memberi impak terus kepada rakyat selain membantu meningkatkan produktiviti tenaga kerja negara.

Menurut Ramanan, pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan sekiranya Malaysia mahu kekal kompetitif sebagai negara berpendapatan tinggi dan hab bakat utama di rantau ini.

“Kerajaan MADANI komited memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara. Melalui PACE, kita mahu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik untuk diri serta keluarga mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata, KESUMA yakin pelaksanaan PACE mampu menjadi pemangkin baharu kepada transformasi tenaga kerja negara selain memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast