SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bunga ganja dan syabu bernilai keseluruhan RM17.8 juta menerusi operasi di sekitar Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang Jaya, antara 6 hingga 11 Mei lalu.
Operasi bersepadu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) KLIA, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA serta Unit MPV Balai Polis Ampang Jaya itu turut membawa kepada penahanan tujuh suspek termasuk seorang lelaki tempatan serta masing-masing tiga lelaki dan wanita warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek dipercayai memainkan peranan dalam rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang aktif dan terancang.
Beliau berkata, dalam kes pertama pada 6 Mei lalu, Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan tiga bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di terminal KLIA sebelum sepasukan anggota BSJN KLIA menahan seorang lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 17 hingga 19 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bagasi itu menemukan 66 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 72.6 kilogram (kg) bernilai sekitar RM5.8 juta.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan mereka kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sazeli berkata, dalam serbuan kedua pada 9 Mei lalu, pihak polis sekali lagi mengesan empat bagasi mencurigakan di terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 30 dan 31 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 136 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat kira-kira 72.8 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.85 juta.
“Saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis THC.
“Kedua-dua suspek turut direman selama 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, dalam kes ketiga pada 10 Mei lalu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun selepas dua bagasi mencurigakan dikesan di terminal KLIA.
“Pemeriksaan ke atas bagasi tersebut membawa kepada rampasan 52 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 27.4 kg dengan nilai sekitar RM2.2 juta.
“Suspek didapati negatif dadah hasil ujian air kencing dan kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, tambah beliau, pada 11 Mei lalu, Unit MPV Balai Polis Ampang Jaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun di hadapan sebuah premis kediaman di Ampang Jaya.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan suspek menemukan 79 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 79 kg bernilai kira-kira RM3.95 juta.
“Suspek turut didapati negatif dadah dan kini direman selama 14 hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jelasnya, dalam kesemua empat kes tersebut, polis merampas 172.8 kg bunga ganja dan 79 kg syabu dengan jumlah keseluruhan 251.8 kilogram dadah.
“Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau di Malaysia, manakala suspek warga asing dipercayai menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah di negara ini,” katanya.
Kataya lagi, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 839,000 penagih berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu.
“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif serta memberi ancaman serius kepada masyarakat.
“PDRM Selangor akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya sehingga menjadi “keldai dadah” dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik individu lain tanpa mengetahui kandungannya.
“Tawaran upah lumayan sehingga 3,000 Euro yang dijanjikan sindiket boleh mengundang implikasi undang-undang yang amat serius kepada individu terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















