GEORGE TOWN – Keputusan kerajaan memperluaskan laluan kemasukan ke universiti awam bagi pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), institusi tahfiz dan sekolah swasta perlu dilihat sebagai usaha mengurus kepelbagaian pendidikan secara strategik tanpa menjejaskan standard akademik negara.
Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Prof. Madya Dr. Thien Lei Mee berkata, pendekatan itu masih mengekalkan prinsip merit dan syarat nasional seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurutnya, pelajar UEC yang memiliki kelayakan SPM penuh boleh memohon ke universiti awam tertakluk kepada syarat program dan keputusan universiti.
Katanya, pelajar yang hanya mempunyai UEC tetapi lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM pula hanya layak memohon program tertentu seperti Bahasa Cina, Linguistik Cina dan Pengajian Cina di universiti awam terpilih.
“Pada masa sama, pelajar yang hanya memiliki UEC semata-mata tanpa memenuhi syarat minimum nasional masih tidak layak untuk permohonan kemasukan ke universiti awam.
“Pendekatan ini menunjukkan usaha kerajaan untuk mengimbangi keterbukaan akses dengan kepentingan dasar pendidikan nasional,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas mengenai pelajar tahfiz, beliau berkata, isu itu kini menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan nasional yang memerlukan laluan mobiliti lebih tersusun.
Katanya, kerajaan memaklumkan ekosistem tahfiz melibatkan 1,401 institusi tahfiz; 10,081 asatizah dan 61,494 pelajar, selain 84 peratus langkah di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 1.0 telah diselaraskan serta dilaksanakan di maahad tahfiz seluruh negara.
Menurut beliau, cabaran utama ketika ini ialah pengiktirafan formal terhadap sebahagian kelayakan tahfiz swasta yang masih terhad sehingga boleh menjejaskan akses ke pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan.
“Kajian turut menunjukkan kira-kira 40 peratus pelajar tahfiz menyatakan hasrat untuk memasuki kerjaya profesional di luar bidang agama, manakala DPTN mensasarkan penghasilan 125,000 profesional huffaz pada masa hadapan.
“Kerajaan juga telah memulakan beberapa intervensi seperti program Fast Track SPM sejak 2019 bagi membantu pelajar tahfiz memperoleh laluan akademik formal,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai graduan hibrid yang bukan sahaja mempunyai kompetensi teknikal tetapi turut memiliki kekuatan nilai, etika, kepimpinan sosial dan kefahaman agama yang baik.
“Keterbukaan akses bagaimanapun tidak bermaksud kompromi terhadap kualiti kerana peranan Malaysian Qualifications Agency (MQA), universiti awam dan badan profesional kekal penting dalam memastikan setiap laluan kemasukan memenuhi standard akademik ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















